





KITA seringkali memikirkan apa yang berada di luar kita. Ramai juga yang ingin melihat orang lain berubah. Malah, kita berkeinginan untuk berubah, tetapi masih tidak kesampaian.
Kita mahu negara kita berubah, kita mahu orang berubah, kita bercita-cita mahu ubah pekerja kita, tetapi malangnya anak dan isteri kita masih tidak mampu kita ubah. Kenapa kita tidak mampu mengubah orang lain? Antara sebabnya, kita tidak pernah bersungguh-sungguh untuk mengubah diri sendiri. Rahsia mengubah orang adalah dengan mengubah diri sendiri. Betapa besar pun hasrat untuk mengubah orang lain sekiranya kita tidak mula daripada diri sendiri tidak berkesan. Kadangkala hasrat mengubah orang lain akan menjadi bahan ketawa. Orang di sekeliling kita akan menyaksikan cakap kita itu tidak serupa bikin dengan apa yang kita laungkan. Elok juga kita fikirkan perbandingan ini, kalau kita hendak membina rumah apalah ertinya kita memikirkan dinding, pintu dan atap sekiranya tapak tidak dibina. "Mulakan dengan dirimu," kata pepatah Arab. Inilah kunci orang yang berjaya. Berani mengejek itu mudah, berani berhujah itu mudah, tetapi tidak ramai orang yang berani melihat kekurangan diri sendiri. Ramai orang berani melihat kekurangan orang lain, tetapi jarang sekali membincangkan kelemahan diri sendiri. Sebenarnya apabila kita mengubah diri dengan penuh sedar sudah pasti ia dapat mengubah orang lain. Walaupun tidak sepatah kata kita ucapkan untuk ubah orang lain, perbuatan yang berubah itu menjadi ucapan yang sangat bererti bagi orang lain. Pengaruh daripada kegigihan mengubah diri tidak akan dirasakan. Tetapi percayalah ia akan membekas dalam minda orang lain. Makin lama orang akan simpati dan terdorong untuk turut sama berubah. Lantas bagaimana kaedah mengubah diri dan orang lain? Pertama: Mulalah dengan mengubah diri sendiri. Mana mungkin kita mahu mengajak orang berubah sedangkan diri kita masih di takuk lama. Jadilah seperti `ketam mengajar anak berjalan betul' nanti cakap tidak serupa bikin. Kedua: Mulakan dengan melakukan perkara yang kecil. Perkara kecil jika dilazimi akan membantu dan memudahkan untuk melakukan yang besar. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Perkara yang kecil jika sering diabaikan nanti berjangkit, yang besar pun akan mudah diingkari. Banjir besar dimulakan dengan titik hujan yang kecil. Ketiga: Mulakan sekarang. Jangan bertangguh lagi. Semakin bertangguh semakin melarat. Masalah yang kecil akan jadi lebih besar jika terus dibiarkan. Keempat: Paksa diri dengan sepenuh hati. Nafsu jika tidak dipaksa nanti jadi degil. Kelima: Belajar menghukum diri sendiri. Kalangan sahabat pernah menghukum diri dengan berpuasa kerana mengumpat. Keenam: Kena ulangi kebaikan sehingga sebati dengan diri.SETIAP orang pasti mengalami pengalaman menghadapi kegagalan. Tidak kiralah gagal dalam peperiksaan, gagal dalam bercinta atau gagal dalam pertandingan. Selalunya apabila gagal, kita pasti akan mencari pelbagai alasan.
Jika gagal dalam peperiksaan, kita mungkin mengatakan guru tidak pandai mengajar, cikgu tidak mahir subjek berkenaan, sekolah tidak bagus, ayah ibu tidak ambil peduli, peralatan belajar kurang dan pelbagai alasan lagi. Jarang kita mengatakan pada diri, 'memang aku malas belajar', atau 'memang aku tidak berusaha dari awal lagi', atau 'aku malas berusaha'. Memang sudah menjadi sifat semula jadi manusia, gemar mencari dan memberi alasan dalam setiap perkara. Kelemahan sendiri jarang pula dilihat, apatah lagi hendak mengakui punca kegagalan kerana kelemahan diri sendiri. Namun, mencari alasan tidak akan menyelesaikan masalah. Malah, memberi alasan bererti kita berusaha melindungi sebab sebenar sesuatu masalah itu.
Kita lebih selamat dengan menyalahkan pihak lain tetapi sebenarnya itu tidak membantu untuk memperbaiki diri sendiri.
Jangan pula menjadi seperti bangau dalam lagu 'Bangau Oh Bangau', meletakkan kesalahan pada si ikan yang tidak timbul apabila dirinya kurus, begitu juga si ikan yang meletakkan kesalahan pada pihak lain pula dan begitulah seterusnya, seolah-olah masing-masing tidak pernah buat salah, yang tahu hanya menyalahkan orang lain. Jelas, apabila seseorang itu sedar dirinya bermasalah atau masalah itu berpunca daripada kelemahan dirinya sendiri, dia akan berusaha keras untuk memperbaiki kelemahannya. Jika dia masih berbangga dengan keupayaannya mencari alasan, masalah tidak akan selesai. Allah juga ada mengingatkan hambanya bahawa sesuatu perkara itu tidak akan berubah sekiranya manusia itu sendiri tidak mahu berusaha mengubah dirinya. (Maksud surah Ar-Ra'd ayat 11). Berusahalah mengatasi kelemahan diri dengan cara positif. Jangan salahkan orang lain sebelum mencari kelemahan sendiri.
Orang lain mungkin bersalah tapi itu bukan alasan untuk kita terus gagal. Jika kita terjatuh di jalanan kerana tersepak batu, wajarkah kita menyalahkan batu kerana ada di situ, cuba renungkan mengapa orang lain yang melalui jalan itu tidak jatuh? Mengapa hanya kita? Mungkin kerana kita kurang berhati-hati atau terlebih cuai. Jadi, sewajarnya kita tidak mencari alasan untuk gagal atau mencari alasan apabila sudah gagal kerana setiap usaha keras dan keyakinan yang mantap terhadap diri sendiri akan membuahkan hasil setimpal. Masih belum terlambat untuk kita bermuhasabah diri atas setiap masalah dihadapi, mencari kelemahan dan kekurangan kita, agar dapat mencari titik permulaan untuk mengorak langkah ke arah kehidupan positif dan cemerlang.
KELEBIHAN DAN CARA MENCAPAI KESEMPURNAAN PUASA
Kelebihan Bulan Ramadhan.
Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar martabatnya di sisi Allah s.w.t. dan RasulNya, ia juga penghulu segala bulan.
Di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan itu Allah s.w.t telah menurunkan kitab suciNya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk pada manusia. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan kitab sucinya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan yang benar dengan yang salah." Surah Al-Baqarah : 185.
Di pilih di antara malam-malam bulan Ramadhan itu suatu malam Lailatulqadar yang mana ia jauh lebih baik daripada seribu bulan. Seribu bulan itu kira-kira 83 tahun.. Menurut ulama Lailatulqadar itu jatuh pada salah satu malam sepuluh yang terakhir daripada bulan Ramadhan. Sayugia diingatkan bahawa jangan disia-siakan malam-malam di bulan Ramadhan dengan perkara-perkara tidak berfaedah, bahkan hendaklah diisi dengan amal ibadat sebagai saham dan bekalan di dunia dan akhirat.
Kelebihan Puasa di Bulan Ramadhan.
Apabila membincangkan mengenai bulan Ramadhan, dengan sendirinya ia mempunyai hubungan dengan kewajipan puasa yang disyariatkan didalamnya. Suatu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Meninggalkan atau sengaja tidak menunaikan kewajipan puasa, bukan sahaja suatu dosa besar bahkan ia tidak boleh ditebus dalam apa jua cara. Tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidup. Ini jelas sebagaimana sambda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:
"Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunas (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup."
Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)
Menuju Kesempurnaan Ibadah Puasa
Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan batiniyah puasa itu, antara lain seperti berikut: