MALAYSIA yang telah membangunkan kad pelbagai guna kerajaan pertama dunia merancang untuk memperluaskan penggunaan teknologi kad pintar tersebut ke pasaran antarabangsa ke negara yang berminat.
Pembangunan kad dikenali sebagai MyKad yang berlandas kad pintar itu membuktikan kemampuan Malaysia menjadi negara pendahulu dan pengeksport teknologi terbaru yang belum digunakan di negara lain.
MyKad merupakan kad yang mempunyai pelbagai maklumat di dalamnya termasuk pengenalan diri, lesen memandu, kad rawatan, kad kredit, e-tunai dan sebagainya dalam satu cip.
MyKad dilancarkan pada 5 September lepas oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. MyKad buat permulaan akan dilengkapi dengan maklumat-maklumat berkaitan kerajaan seperti kad pengenalan dan lesen memandu terlebih dahulu sebelum diperluas kepada aplikasi kewangan.
Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Amar Leo Moggie pada majlis pelancaran terminal pembaca MyKad baru-baru ini berkata, setakat ini MyKad telah menarik perhatian banyak negara-negara luar yang ingin mencontohi Malaysia.
Negara-negara tersebut ialah Indonesia, Brunei, Algeria, Abu Dhabi, Bahrain, Arab Saudi, Jordan, Afrika Selatan, Botswana dan Mozambique, katanya.
Yang terbaru ialah Filipina dan Moggie sendiri akan mengetuai satu rombongan perniagaan teknologi ke negara tersebut bulan ini bagi menjelaskan lebih lanjut mengenai sistem kad pintar itu.
``Kita berharap dapat mengeksport teknologi ini dan menjadikan Malaysia pusat teknologi terkenal di rantau ini dan pembangun sistem, rumusan, produk dan prasarana IT berkelas dunia,'' katanya.
Moggie berkata, pengeluaran kad pintar MyKad mencatatkan pertumbuhan menggalakkan dan dijangka mencapai sasaran pengeluaran satu juta kad menjelang akhir tahun ini.
``Sepanjang pengetahuan saya, ia (pertumbuhan) tidak perlahan, ia berada dalam sasaran,'' katanya selepas majlis pelancaran terminal pembaca MyKad yang dikenali sebagai Peranti Penerima Kad (CAD) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Komponen utama terminal pembaca kad pintar itu dimaju dan dikeluarkan syarikat tempatan, iaitu CSA MSC Sdn. Bhd. dan IRIS Corporation Bhd.
Alat CAD telah direka untuk membaca, mengakses, mencetak dan menggunakan maklumat yang tersimpan di dalam MyKad.
Menggunakan terminal ini, pengguna MyKad boleh melakukan transaksi tertentu seperti pengesahan identiti, memperbaharui lesen memandu, pembayaran bil utiliti, perbankan dan transaksi komersial.
Pembaca kad ini terdapat dalam pelbagai bentuk dan saiz dari peringkat pembaca `key ring' seperti pemegang kunci sehingga kepada terminal pembayaran desktop.
Terdapat juga terminal mudah alih yang dilengkapi dengan pembaca cap jari untuk pengesahan biometrik.
Salah satu terminal yang menarik dan di peringkat pembangunan ialah alat yang menggabungkan pelbagai aplikasi seperti telefon GSM/ GPRS, pembaca MyKad, pembaca cap jari dan sistem pengesan kedudukan global (GPS) yang dikenali sebagai IRIS i@TERM St-2e.
Alat ini mempunyai skrin warna sesentuh dengan paparan 240 x 320 piksel dan 64k warna, berlandaskan platform Microsoft WinCE dan slot bersepadu Modul Pengesahan Keselamatan (SAM).
Mengenai perkembangan keluaran MyKad, Moggie berkata, setakat ini lebih 700,000 kad telah dikeluarkan dan ianya akan diperluaskan ke Sabah pada awal tahun hadapan dan Sarawak pada separuh pertama tahun 2002.
Moggie berkata, mengikut perancangan menjelang tahun 2003 MyKad akan diperkenalkan ke seluruh negara.
``Lebih banyak agensi yang boleh memasang terminal seumpama itu, lebih cepat orang ramai boleh menggunakan MyKad kerana ia telah dikeluarkan,'' katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Azizan Ayob berkata, pertumbuhan MyKad adalah lebih menggalakkan dimana 6,000-7,000 kad dikeluarkan sehari tidak termasuk Sabah dan Sarawak, berbanding 5,000 sehari bagi Kad Pengenalan lama.
Beliau berkata, setakat ini 12 pusat di Jabatan Pendaftaran Negara di Lembah Klang yang telah dilengkapi terminal membaca kad pintar.
Menurutnya, 5,000 terminal membaca kad pintar key-ring dan 700 terminal membaca kad pintar mudah alih akan diedarkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis.
Moggie pula berkata, satu daripada cara untuk mempercepatkan penggunaan MyKad adalah menggalakkan agensi seperti bank-bank untuk menggunakan terminal kad pelbagai guna.
Beliau berkata di bawah Belanjawan 2002, pengecualian cukai disediakan bagi pembelian terminal seumpama itu.
``Kami memerlukan media untuk mewujudkan kesedaran kepada orang awam bagi memupuk minat dalam menggunakan kad pintar,'' kata Moggie.
Moggie berkata, peralihan negara kepada kerajaan elektronik (e-kerajaan) telah bermula dan akan terus berkembang secara berperingkat.
``Kemajuan MyKad adalah satu komponen penting bagi peralihan ini,'' katanya.
No comments:
Post a Comment