"PETALING JAYA 8 Mei – Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bukan sahaja tidak dimansuhkan tahun depan, malahan cadangan untuk menghentikan kedua-duanya, masing-masing pada 2012 dan 2015 belum dimuktamadkan, kata Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) Datuk Dr. Adi Badiozaman Tuah.
Beliau berkata, LPM masih mendapatkan maklum balas pelbagai pihak termasuk pengurusan sekolah, guru dan tokoh akademik mengenai cadangan memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu.
“Banyak pihak salah faham kononnya kami hendak memansuhkan PMR dan UPSR mulai tahun depan. Itu semua tidak betul.
“Kita akan buat keputusan tahun depan dengan mengambil kira semua maklum balas yang diterima,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja di Forum Sistem Penilaian Pendidikan: Melihat Kehadapan, di sini hari ini.
Beliau berkata, sekiranya maklum balas yang diterima positif, pembelajaran murid-murid mulai tahun depan akan disesuaikan dengan ko-kurikulum yang baru.
Adi berkata, LPM juga sedang merangka satu sistem penilaian baru yang tidak menumpukan kepada sistem peperiksaan pusat seperti yang diamalkan sekarang.
“Kami tidak berhasrat untuk memansuhkan sepenuhnya sistem peperiksaan berpusat tapi mahu melihat bagaimana sistem yang ada sekarang boleh diperluaskan,” katanya.
Sementara itu, forum yang diadakan itu disertai oleh lebih 100 peserta serta panel dari dalam dan luar negara seperti Australia, Korea Selatan dan Indonesia.
Forum itu membincangkan isu-isu berkaitan penilaian peperiksaan.
-UTUSAN MALAYSIA ONLINE "
No comments:
Post a Comment