Tuesday, January 12, 2010

TAIPING: Tiga insiden cubaan membakar membabitkan dua buah gereja dan sebuah sekolah berlaku di sini selepas dilempar dengan bom api

TAIPING: Tiga insiden cubaan membakar membabitkan dua buah gereja dan sebuah sekolah berlaku di sini awal hari ini selepas dilempar dengan bom api, kata Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah.

Kedua-dua buah gereja berkenaan tidak mengalami kerosakan manakala insiden di Sekolah Menengah Convent Taiping itu membabitkan kerosakan kecil apabila cermin kaca pondok pengawal pecah.

Dua buah gereja terbabit ialah Gereja All Saints di Jalan Taming Sari dan Gereja Katolik St Louis yang terletak bersebelahan sekolah berkenaan di Jalan Convent.

Zulkfili berkata, polis percaya kejadian terbabit dilakukan individu atau kumpulan nakal dan tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan daripada isu yang sedang berlaku sekarang dan bukan dirancang oleh mana-mana organisasi.

"Tidak berlaku kebakaran atau kerosakan pada semua bangunan itu. Jangan gempar dengan kejadian di Taiping ini dan jangan dengar khabar angin atau pun menyebarkan kejadian ini dengan cerita bukan-bukan," katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, keadaan adalah terkawal dan berharap orang ramai bertenang dan tidak panik.

Katanya, polis sedang menjalankan siasatan terperinci dan Jabatan Forensik masih menganalisis botol, serpihan kaca dan kain yang telah ditemui selain meningkatkan pemantauan ke atas semua rumah ibadat di negeri ini bagi memastikan keadaan terkawal.

Beliau berkata, bagaimanapun setakat ini belum ada suspek yang ditahan berikutan insiden itu. Serangan terhadap dua buah gereja dan sekolah itu dipercayai berlaku antara jam 3 hingga 4 pagi tadi.

Insiden di Gereja All Saints disedari Paderi Joshua Ong pada kira-kira jam 7 pagi semasa beliau ingin membuka gereja bagi upacara sembahyang penganut agama Kristian yang diadakan setiap Ahad.

Beliau melaporkan kepada polis selepas melihat dua tompok hitam jelaga di dinding depan gereja selain serpihan kaca botol. Upacara sembahyang kemudian diteruskan di dewan kecil belakang gereja.

Dalam serangan di Jalan Convent, pengawal sekolah berkenaan dalam aduannya kepada polis memaklumkan ternampak empat lelaki menaiki dua buah motosikal memecut dari tempat kejadian sejurus selepas kejadian.

Tingkap kaca pondok pengawal sekolah tersebut pecah manakala botol yang dilemparkan ke gereja bersebelahan tidak terbakar kerana kain sumbunya terjatuh di luar pagar.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains dan Teknologi Perak, Mohd Zahir Abdul Khalid yang melawat sekolah dan gereja berkenaan meminta orang ramai terutama ibu bapa pelajar sekolah berkenaan supaya bertenang dan tidak bimbang.

Beliau berkata, sekolah berkenaan akan dibuka seperti biasa esok.

Katanya, polis telah menyiasat dan meningkatkan pemantauan dan kawalan di semua tempat ibadat dan juga sekolah.

Di Melaka, polis sedang menyiasat perbuatan melempar cat hitam ke dinding sebuah gereja di Durian Daun, kata Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Sallehhudin Abd Rahman.

Katanya, kejadian itu disedari pihak gereja itu kira-kira jam 9 pagi dan laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Melaka Tengah di sini, pada pukul 12.30 tengahari.

"Kita melihat kes ini secara serius memandangkan ini adalah isu sensitif, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat keharmonian di negara ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sallehhudin berkata, polis sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menasihati orang ramai supaya bertenang dengan tidak melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan ketegangan serta melanggar undang-undang negara.

Sambil meminta polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang cuba menggugat keharmonian kaum yang dinikmati selama ini, beliau mahu semua pemilik rumah ibadat menjaga rumah ibadat masing-masing dan dalam masa sama polis membuat pemantauan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment