Thursday, February 11, 2010

Kenangan Sekolah Rendah

Marilah saya bercerita tentang latar belakang pendidikan saya ketika sekolah rendah. Sebabnya supaya anda sekalian boleh tahu betapa kenangan manis saat kita masih kanak-kanak tidak boleh dilupakan sama sekali.

Saya mula bersekolah tadika di Tadika Perpaduan Segamat pada tahun 1994. Kencing dalam seluar, menangis pada hari pertama, tak mahu pakai tanda nama dan takut pada cikgu adalah ragam saya pada hari pertama. Selepas beberapa minggu, barulah saya sedikit berani dan tidak menangis lagi. Ketika itu waktu persekolahan saya ialah pada pukul 1 tengah hari hingga pukul 5 petang.

Selepas itu, saya bersekolah darjah satu di Sekolah Kebangsaan Temenggung Abdul Rahman. Dalam kelas 1 Mawar saya ditempatkan dengan beberapa rakan lama saya di tadika dan juga rakan baru. Seingat saya, ada seorang rakan saya yang nakal sekali dan namanya Hishamuddin. Pernah suatu ketika, dia diangkat oleh cikgu Onn yang mengajar Bahasa Melayu dengan kedua-dua belah telinga hingga dia menjerit sekuat-kuatnya seolah-oleh dibantai dengan besi panas. Namun, dia tidak pernah begitu lembik sehingga nak mengadu pada ibu bapanya. Tak macam budak-budak zaman sekarang. Ketika ini saya cukup benci pada guru pendidikan jasmani saya yang kerjanya nak mencubit dan merotan belakang saya dan rakan-rakan untuk sebab yang remeh-temeh seperti tidak menggaris tarikh dan hari pada buku latihan dan tulisan yang buruk.

Ketika darjah dua, saya masih bersekolah di sekolah yang sama. Pun di kelas 2 Mawar. Namun, tidak berapa lama selepas itu, saya dan beberapa orang rakan yang lain terpaksa dipindahkan di kelas 2 Delima. Sani, masih ingat lagi budak ini yang tidak bersekolah agama pada waktu petang dan sering mengacau kami. Namun, dia seorang budak yang baik. Cikgu Mariam adalah guru matematik saya. Cakapnya kasar dan sering menjerkah kami tak pasal-pasal. Pernah kawan saya yang bernama Muhamad Nazmi dimarahinya cukup-cukup sehingga dia menangis teresak-esak. Ketika dia menulis, air matanya menitis ke atas buku sehingga rosak tulisannya. Itu saya masih ingat sebab dia duduk di depan saya. Nazmi ini begitu mudah tersentuh. Jika anda cakap begini,”Ala, aku nak merajuklah macam ni”, tentu dia akan meminta maaf berulang kali walaupun dia tidak buat apa-apa kesalahan. Ada pula seorang lagi rakan saya yang bernama Muhaimin . Dia suka bercerita tentang hantu. Seolah-olah semua hantu dan jembalang yang wujud di dunia ini pernah dijumpainya. Namun, saya dan rakan-rakan tetap suka mendengar ceritanya yang merepek itu. Masih ingat lagi petua karutnya untuk menghalau hantu di jamban. Caranya ialah meletak al-Quran dalam mangkuk jamban. Celaka sungguh petuanya !. Khabarnya kini dia berada di Rusia mendalami ilmu perubatan di sana.

Sekolah Kebangsaan Temenggung Abdul Rahman terpaksa saya tinggalkan kerana saya terpaksa berpindah ke pekan Labis. Labis ini masih lagi dalam daerah Segamat ketika itu. Pihak berkuasa tempatannya dipanggil Majlis Daerah Segamat Selatan (MDSS). Kependekan ini boleh ditemui di kerusi-kerusi plastik milik majlis di dewan besar Labis. Pekannya tenang dan damai. Ianya seolah-olah menjadi penghubung Segamat dengan Yong Peng dengan melintasi beberapa pekan lain seperti Chaah, Desa Temu Jodoh dan Lam Lee. Di Labis ini, saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sri Labis. Dahulunya ialah Sekolah Rendah Kebangsaan Sri Labis, cuma perkataan ‘rendah’ itu dibuang. Saya mula belajar di sini dalam darjah tiga. Mulanya, guru kelas saya ialah Cik Vasugi. Garangnya sungguh menakutkan. Jika saya dan rakan-rakan keluar rehat tanpa memasukkan kerusi ke bawah meja, kami akan dirotan sekuat-kuatnya. Satu sampah di lantai, tiga sebat untuk semua. Dia mengajar bahasa Inggeris. Tidak lama kemudian dia melanjutkan pelajarannya dan diganti oleh Cikgu Siti Khadijah. Cikgu ini putih melepak dan berasal daripada Kelantan. ketika ini saya begitu lemah dalam sifir. Oleh itu, cikgu Matematik saya bertanggungjawab mendera saya untuk menghafal sifir. Satu salah, satu rotan. Malangnya, saya sudah lupa namanya. Cikgu Bahasa Melayu saya pula namanya Encik Saari Sairan. Seorang yang suka membuli kami. Namun kami semua sayang kepadanya kerana dia pandai pula berjenaka. Di bawah tunjuk ajar beliau, saya berhasil menulis sebuah karangan pendek yang judulnya Aku dan Ikan Paus. Itulah karangan pertama saya yang merapu. Masakan saya bela ikan paus di rumah. Namun begitulah khayalan anak-anak yang berumur 9 tahun. Membela sesuatu yang tidak logik. Ketika inilah, saya mula rapat dengan seorang budak yang bernama Azad Azahari. Dia seorang rakan yang baik. Tetapi, kadangkala dia juga sering mengusik saya.

Naik ke darjah 4, saya berguru kelas dengan Encik Jumaat bin Abdul Hamid yang digeruni kerana penampar besinya. Bagi kami yang berumur 10 tahun, ditampar sebegitu kuat tentulah menyakitkan dan menyedihkan. Akibat bising, saya pernah ditamparnya. Ketika itu saya langsung tidak sedar bagaimana keadaan saya. Yang pastinya, saya kepeningan. Kawan saya si Adrian berkata,”Awak berpusing-pusing.” Encik Jumaat ini mengajar saya Bahasa Melayu. Tegurannya ketika saya berkeputusan teruk dalam ujian penggal pertama membuatkan saya semakin takut dengannya. Guru Bahasa Inggeris saya ketika ini ialah seorang Cina yang berbadan besar dengan keadaan yang tidak terurus. Saya pun tidak tahu bagaimana orang selekeh seperti beliau boleh menjadi guru. Beliau sering menyebut nama kami dengan salah dan selalu pula menggelar kami dengan gelaran yang bukan-bukan. Mohd Faiz menjadi ‘Landak’, Uzair menjadi ‘Ursa’. Begitulah lidah Cinanya ingin memudahkan penyebutan. Pernah dia bertanya saya, “Akmal,sudah siapkah ?” Saya menjawab sudah. Dia pun menjawab, “Ha, Alhamdulillah.”

Ketika darjah 4 inilah saya dan rakan-rakan didatangi seorang guru yang penampilannya seakan-akan ustaz. Namanya ialah En. Khairil Anuar bin Ibrahim. Nah, dia mengajar kami Matematik untuk beberapa ketika sebelum diganti dengan Encik Ismail pula. Bagi subjek sains pula, kami diajar oleh seorang guru yang sangat cantik. Anak dara pula. Sehinggakan seorang rakan lelaki saya selalu malu-malu apabila cikgu ini bertanya kepadanya. Renungannya dan gerak bibirnya memang menawan sekali. Namanya ? Oh, Tuhan. Saya sudah lupa. Cikgu yang saya katakan berpenampilan seperti ustaz itu mengajar kami bernasyid dan sering pula kami membuat persembahan apabila sekolah mengadakan sesuatu majlis. Saya sendiri pernah menjadi penyanyi utama untuk sebuah lagu yang entah apa namanya.

Saya naik ke darjah 5 pada tahun 1999. Ketika ini, ada di antara rakan saya yang mula tumbuh tanduk. Antaranya ialah Ravi Kumar yang teramat suka mencuri. Kegilaannya ialah memakan ‘ubat pensil’. Tabiat pengotornya itu menular pula kepada rakan-rakan India dungu yang lain. Ya, saya ada beberapa rakan India yang baik. Antaranya ialah Vikcnesh, Vikneswaran, Kaliswaran, Deevagar dan Thilaga. Si Thilaga ini amat mahir matematik dan saya dulu duduk bersebelahan dengannya dan sering meminta tunjuk ajarnya. Rakan perempuan? Oh, tentulah ada. Dan Si Thilaga tadi itu pun perempuan. Antaranya ialah Nor Baizura yang manis, Raihana has, Syarifah Nur Khairunnisa yang cantik, Nurhaniza, Siti Zulaikha yang comel dan Nur Farah Liza yang cun-melecun. Si Nur Farah Liza ini baru sahaja berpindah ke sekolah kami. Ramai rakan-rakan saya meminatinya dan saya sendiri salah seorang peminatnya. Tambah menyeronokkan dan membuatkan saya ingin terbang apabila ada rakan perempuan saya memberitahu yang dia sangat menyukai saya. Wahahaha.

Ketika ini, subjek sains diajar oleh seorang cikgu Cina yang bernama Encik Chia Lee Beng. Dia seorang muda yang tegas dan garang. Dan dia juga guru kelas kami. Kami sering mentertawakan pelat cinanya yang membuatkan kami tidak faham apa yang diajarnya. Cikgu Bahasa Melayu kami ? Ya, Cikgu Jumaat masih mengajar kami. Ketika ini beliau amat garang dan selalu sangat merotan kami. Malahan dia pernah menampar seorang rakan saya sehingga terjatuh. Budak perempuan juga tidak terkecuali. Semua ditamparnya jika tidak berpuas hati. Seperti biasa, kami tidak pernah mengadu kepada ibu bapa kami. Entah kenapa. Subjek Bahasa Inggeris dan Matematik pula diajar oleh Encik Ravindran. Seorang cikgu senior di sekolah kami. Pendengarannya sudah kurang baik. Perkataan ‘once again’ sering diucapkannya apabila tidak mendengar kami menjawab soalannya.

Darjah 6. Ketika inilah saat yang paling indah apabila orang yang kita minat itu duduk di hadapan kita. Ya, Nur Farah Liza duduk di hadapan saya. Sungguh bertuah sekali. Susunan meja ketika itu amat menyebelahi saya dan mendatangkan tuah. Meja disusun berkelompok. Satu kumpulan ada 6 pelajar. Apa yang saya buat untuk kegembiraan ini ? Tidak ada apa-apa. Saya masih segan dengannya sebab dia seorang budak perempuan yang cantik jika hendak dibandingkan dengan saya yang berpenyakit semput, kulit yang agak gelap dan bersuara tidak enak didengar. Malah saya tidak pandai bergaya.Itu ketika di zaman saya. Zaman sekarang ini, kalau sudah suka, terus diterkamnya, malah ada khabar yang menyatakan budak bawah umur sekarang ini sudah tahu berzina. Nauzubillah. Kita dahulu tidak berani hendak sentuh mereka pun. Sayalah. Tidak tahulah pula rakan-rakan yang lain. Hehehe.

Tetapi, dasar cinta monyet yang sial. Si Nur Farah Liza beralih arah kesukaannya kepada seorang rakan saya yang lain. Hanafi namanya. Wah, Si Hanafi sangat pandai. Mungkin itu sebabnya dia menyukai Hanafi. Adakah saya bergaduh dengan si Hanafi untuk merebut dia kembali ? Tidak. saya malah tak tahu nak buat apa. Lagipun, peduli apa. Saya baru sahaja darjah 6. Nak bercinta pun tidak ada duit. Malahan saya tidak tahu pun apa itu cinta. Lebih malang, tempat duduk kami diatur semula. Saya terpaksa duduk di depan dan pelajar perempuan duduk di barisan belakang. Mungkin guru kelas kami tidak mahu kami ini terlalu bebas bergaul dengan budakperempuan. Jika begitu halnya, kami tidak kisah. Guru kelas kami bernama Encik Sumail bin Nasir. Beliau mengajar kami subjek Matematik. caranya mengajar cukup pantas dan saya sering ketinggalan. Ya, saya agak lemah dalam subjek yang ada kira-kira ini.

Encik Jumaat masih mengajar kami Bahasa Melayu. Seolah-olah sudah tidak ada guru Bahasa Melayu lain di sekolah ini. Betapa malangnya kami ini kerana peluang hendak ditampar lagi begitu besar sekali. Namun, Encik Jumaat tidak lagi aktif menampar orang. Mungkin sudah ditegur guru besar, barangkali. Guru besar ketika ini ialah Encik Kamaruddin. Beliau amat tegas dalam kelembutan bicaranya. itulah membuatkan beliau dihormati para guru. Dan kami secara automatik menghormatinya juga. Langkah pertama ketika beliau mengambil alih jawatan guru besar daripada guru besar yang terdahulu, dia mengerah kami untuk membersihkan pejabat sekolah. Bilik-bilik guru habis kami bersihkan. Kami suka kerana kami tidak payah belajar satu hari. Namun, ada sedikit kelucuan pada guru besar kami ini, iaitu tandatangannya. Jika anda membaca tandatangannya, kelihatan seperti ejaan ‘kasino’.

Subjek Bahasa Inggeris kami masih diajar oleh Encik Ravindran. Antara dendanya yang kami tidak lupa ialah mengetuk jari kami dengan pembaris papan hitam yang berwarna kuning dan besar itu. sakitnya sehingga jari-jemari kami lebam.

Ketika ini kami juga berdebar untuk menghadapi peperiksaan UPSR. Bermacam-macam program dianjurkan sekolah untuk kami. Semuanya untuk memastikan kami cukup bersedia untuk menghadapinya.

Akhirnya, ketika keputusan UPSR diumumkan, saya tidak sebaris dengan pelajar yang memperoleh 4A atau 5A, tetapi saya amat bersyukur kerana tidak ada satupun subjek yang gagal. Saya memperoleh 3A1B1C. Malahan saya tidak menyangka subjek matematik yang saya amat takuti berkeputusan A.

Demikian serba sedikit rentetan perjalanan hidup saya ketika bersekolah rendah. Suka duka, tangis ketawa semuanya adalah pengalaman yang tidak akan dilupakan. Selepas itu, kami berpecah untuk memasuki sekolah menengan. Ada yang bersekolah di bandar, ada pula yang bersekolah menengah di kampung. Si Nur Farah Liza yang cun-melecun bersekolah di bandar. Saya bersekolah menengah di sekolah yang agak ‘kampung’ kerana lokasinya yang berhampiran dengan hutan dan ladang getah serta terletak di kaki bukit sehinggakan sekolah menengah itu tidak ada padang.

(dipetik dari blog KHALDUN)

No comments:

Post a Comment