Wednesday, May 13, 2009

Mari berkenalan pula dengan RAJA PERMAISURI PERAK DARUL RIDZUAN

RAJA PERMAISURI PERAK DARUL RIDZUAN .

BIOGRAFI
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA RAJA PERMAISURI PERAK,
TUANKU BAINUN BINTI MOHD. ALI, D.K. , D.M.N

Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun binti Mohd. Ali telah dilahirkan di Pulau Pinang. Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah St. George, Pulau Pinang dan kemudiannya terpilih untuk meneruskan pendidikannya di Kolej Perguruan Kirkby, England dari tahun 1952 hingga 1954.

Setahun selepas kembali dari England, Tuanku telah mengahwini D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah yang pada ketika itu merupakan seorang Majistret di Kuala Lumpur. Tuanku Bainun kemudiannya meneruskan kerjayanya sebagai guru, kembali mengajar di sekolahnya terdahulu.

Sepanjang kerjayanya sebagai guru, D.Y.M.M. Tuanku Bainun berpengalaman mengajar di beberapa buah di antaranya: Sekolah Rendah Batu Road, Kuala Lumpur; Sekolah Rendah King George V, Seremban; Sekolah Sultan Mahmud, Raub, Pahang; Sekolah King Edward VII, Taiping; Sekolah Raja Perempuan Ipoh dan Sekolah Methodist Perempuan, Kuantan.

Pada 19 Februari, 1988, Tuanku Bainun telah ditabalkan menjadi Raja Permaisuri Perak dalam satu upacara yang sungguh bersejarah di Istana Kinta, Ipoh. Tuanku kemudiannya diisytiharkan pula sebagai Raja Permaisuri Agong dalam Upacara Menandatangani dan Angkat Sumpah D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah sebagai Yang DiPertuan Agong Yang Ke-Sembilan.


klik di sini untuk paparan yang lebih jelas


Rumahtangga Tuanku berdua telah diserikan dengan kehadiran lima orang cahayamata; dua putera dan tiga puteri. Duli Yang Teramat Mulia Raja Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah sebagai putera yang sulung, telah diputerakan pada 27 November, 1956 dan kini merupakan D.Y.T.M. Raja Muda Perak. D.Y.T.M. Tuanku memegang B.A (Hons.) in Philosophy, Politics and Economics, University of Oxford, United Kingdom, Master in Public Administration, Kenedy School of Goverment, Harvard University, U.S.A dan Ph.D. in Political Economy and Goverment, Harvard University, U.S.A.

Yang Amat Mulia Raja Dato' Seri Azureen binti Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah diputerikan pada 9 Disember, 1957 dan merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Matematik dan Ekonomi Syracuse University, U.S.A. dan Ijazah Sarjana di dalam bidang Pentadbiran Perniagaan daripada London Business School, University of London, England. Yang Amat Mulia telah mendirikan rumahtangga dengan Y.Bhg. Dato' Seri Mohd Salleh bin Dato' Ismail.

Yang Amat Mulia Raja Dato' Seri Ashman Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pula telah diputerakan pada 28 Disember, 1958 dan telah diisytiharkan sebagai Duli Yang Amat Mulia Raja Kechil Bongsu Perak Darul Ridzuan pada 11 Mei, 1987. Yang Amat Mulia memegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada University of Nottingham, England, dan Ijazah Sarjana Undang-Undang Cambridge University; Barrister-at-Law daripada Lincoln's Inn, London, serta Diploma Undang-Undang Perniagaan, University of London, England.

Yang Amat Mulia Raja Eleena binti Sultan Azlan Muhibbuddin Shah diputerikan pada 3 April, 1960, memegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada University of London dan Barrister-at-Law daripada Lincoln's Inn, London. Kini, Yang Amat Mulia menguruskan firma guamannya sendiri di Kuala Lumpur.

Puteri yang bongsu, Yang Amat Mulia Raja Yong Sofia binti Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah diputerikan pada 24 Jun, 1961. Yang Amat Mulia memperolehi Ijazah Sarjana Pentadbiran daripada London's International University, England.Yang Amat Mulia mengahwini Yang Mulia Tunku Kamel bin Tunku Rijaludin pada 5 Disember, 1987.

D.Y.M.M. Raja Permaisuri ternyata berkongsi minat yang sama dengan Paduka Seri Sultan Perak di dalam bidang sukan terutamanya dalam permainan golf. Sebagai Raja Permaisuri, Tuanku Bainun amat prihatin terhadap permasalahan rakyatnya dan sentiasa berdamping dengan mereka, terutamanya di kalangan kaum wanita, disamping mempunyai komitmen yang serius dan bersungguh-sungguh di dalam aktiviti kebajikan. D.Y.M.M. Tuanku mempunyai hobinya yang tersendiri termasuklah mengumpul resepi masakan, gubahan serta membaca.

No comments:

Post a Comment