Sunday, August 16, 2009

5j berisiko dijangkiti H1N1

BUKIT MERTAJAM 15 Ogos - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lima juta atau 20 peratus rakyat negara ini berisiko dijangkiti virus influenza A (H1N1) jika orang ramai tidak mengambil serius langkah pencegahan bagi menghalang penularan virus itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, statistik itu berdasarkan kajian terperinci WHO mengenai impak penularan luar biasa H1N1 terhadap sesebuah negara jika ancaman virus tersebut tidak ditangani secara berkesan dan menyeluruh.

''Kajian itu menyebut bahawa jika penularan virus H1N1 di sesebuah negara tidak berjaya ditangani dengan berkesan, 20 peratus penduduknya akan terdedah dengan jangkitan virus itu.

''Jadi semua pihak perlu tampil bersama-sama mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang disarankan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Bukit Mertajam (HBM) di sini hari ini.

Tiong Lai berkata, penularan H1N1 dijangka berlarutan dalam tempoh satu atau setahun setengah lagi dan ia diramal menular lebih cepat pada musim tengkujuh iaitu antara bulan Oktober hingga Disember ini.

Sepanjang tempoh itu katanya, orang ramai turut terdedah dengan penyakit berjangkit lain.

Justeru katanya, setiap lapisan rakyat perlu mengambil serius setiap langkah proaktif termasuk meningkatkan kebersihan diri tanpa mengharapkan program-program pencegahan yang dijalankan kerajaan semata-mata.

''Pada musim tengkujuh, kita lebih terdedah dengan selesema, batuk-batuk dan demam. Tempoh ini amat penting untuk semua rakyat mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak mengambil mudah," tambahnya.

Kajian WHO juga katanya, menunjukkan jumlah sebenar penduduk yang dijangkiti H1N1 adalah 20 kali ganda dengan jumlah pesakit yang direkodkan menerima rawatan akibat jangkitan virus tersebut.

''Ini bermakna jika kita merekodkan 3,574 kes jangkitan H1N1 setakat ini, jumlah sebenar yang dijangkiti adalah sekitar 70,000 orang. Kajian WHO ini mungkin tidak begitu tepat tapi kita kena beri perhatian sewajarnya," jelasnya.

Tiong Lai berkata, walaupun kajian WHO menunjukkan risiko kematian pesakit yang dijangkiti H1N1 amat rendah iaitu antara 0.1 hingga 0.4 peratus tetapi keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya langkah pencegahan tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh.

Sementara itu katanya, tiga lagi kematian akibat H1N1 direkodkan setakat semalam menjadikan jumlah korban akibat penularan virus itu meningkat kepada 59 orang.

Katanya, tiga kematian itu membabitkan dua lelaki berusia 22 dan 29 tahun yang masing-masing menghidap penyakit jantung dan obesiti.

''Seorang lagi mangsa ialah wanita berusia 44 tahun yang menghidap asma dan disahkan meninggal dunia selepas enam hari menerima rawatan," tambahnya.

(sumber Utusan Malaysia Online)

No comments:

Post a Comment