Friday, August 14, 2009

Pemergian Takkan Kembali

Keluhuran budi Allahyarham Ustaz Asri akan senantiasa dikenang -foto blog Ustaz Asri

BELASUNGKAWA

USTAZ ASRI RABBANI (3 Ogos 1969- 13 Ogos 2009)

BERITA kematian di bulan Syaaban sekali lagi menyentap di hati. Pemergian mengejut Ustaz Asri Ibrahim, teraju utama kumpulan Rabbani jam 10.30 pagi 22 Syaaban adalah perkhabaran yang cukup sedih kerana Allahyarham adalah seorang insan yang sangat istimewa, luhur budi perkerti, penuh hemah bila menyusun kata dan amat disayangi di kalangan rakan artis.

Terngiang-ngiang bait lagu 'Pergi Tak Kembali', 'Intifada', 'Qiblat', 'Suara Takbir' dan alunan zikrullah yang dititipkan oleh Allahyarham.

Kumpulan nasyid Rabbani.Kemunculan Rabbani yang turut dianggotai oleh Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman begitu unik kerana ada konsep tersendiri

Sebaik membuka blog peribadi Dr Asri, (asrirabbani.blogspot.com) setiap patah perkataan bagai menggambarkan peribadi arwah selama 40 tahun di bumi ini. Jelas sekali kehadirannya sebagai penyanyi, sahabat, suami, ayah, adik, abang dan anak cukup disenangi. Hilangnya akan selalu dirindui....

"Aku adalah pengejar syurga akhirat, bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat; aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu. Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat,dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas. Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku."

Begitulah pembuka kata blog Allahyarham Ustaz Asri.

Ramadhan yang akan menjelma selang beberapa hari lagi akan membuat kita lebih mengingati Ustaz Asri kerana kegemersikan, kesyahduan ayat-ayat Quran alunannya sudah begitu sebati dengan kita.

Justeru bila saja perkhabaran tentang pemergian Ustaz Asri diterima, ramai wartawan yang tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata rasa kehilangan.

Memetik kata arwah Ustaz Asri tika ditanya bagaimana dia menjaga ukhuwah antara anggota kumpulan Rabbani. Kata arwah, "semuanya dianggap bagai teman sejati dan saling membantu dan mengingatkan masa susah dan senang."

TINGGAL KENANGAN...Saat-saat bahagia bersama anak-anak

Dan itulah yang diterapkan di dalam menjalin semangat persahabatan antara sembilan anggota Rabbani.

Kini hanya wajah-wajah sugul keluarga tersayang, teman dan taulan mengiringi pemergian arwah dengan doa agar ditempatkan bersama roh-roh yang baik.

Pernah beberapa kali ketika buntu mengalami kesulitan hidup, arwah sering berpesan, "walau selama manapun kita hidup, penghujungnya pasti mati. Jadi jangan lupa bawa bekalan untuk pulang. "

Begitulah sikap arwah yang paling diingati. Apa saja yang dilakukan, dia akan tetap selitkan nasihat berguna. Walaupun sedang berjenaka, arwah akan tetap berpesan agar buat kebaikan.

Anak bongsu Allahyarham Ustaz Asri...Hamdi Rabbani yang berusia 4 tahun

Ustaz Asri dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor. Beliau mempunyai 13 orang adik beradik. Beliau meninggalkan seorang balu, Haliza, 38 dan enam orang anak iaitu Mohd Nasimudin, 15, Mohd Fathi, 14, Nur Atikah, 12, Mohd Ilhan, 10, Sufiyah Munawarah, 6, dan Hamdi Rabbani, 4.

Arwah jatuh pengsan semasa memberikan ucapan dalam sidang media program 'Syahadah' di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 pagi tadi akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke Hospital Pantai, Bangsar.

Jenazah telah dibawa ke rumahnya di Jalan Ikan Keli, Kampung Bukit Lanchong, di sini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, di sini selepas Maghrib bagi memberi peluang kepada keluarga mertuanya yang datang dari Johor memberikan penghormatan terakhir buat arwah.

Peribadi arwah yang begitu luhur kini tinggal kenangan.

Al-Fatihah buat Allahyarham. Mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. Amin.

(sumber: mstar Online)

No comments:

Post a Comment