Saturday, August 15, 2009

Inspirasi: Abdul Rahim Kajai


Abdul Rahim Kajai sehingga kini masih merupakan satu enigma. Beliau sering dikaitkan dengan dunia persuratkhabaran. Beliau adalah antara wartawan yang dikenali oleh pembaca dalam tahun 1930-an. Kajai yang mula menceburkan diri dalam dunia kewartawaanan Melayu pada Mac 1930 sebagai penolong pengarang Saudara, kemudian berkhidmat dengan beberapa akhbar lain seperti Majlis, Warta Malaya dan cabangnya Warta Ahad dan Warta Jenaka, serta Utusan Malaya dan cabangnya Utusan Zaman dan Mastika

Menurut sahabat-sahabat seangkatan dengannya iaitu, Onn Jaafar, Othman Kalam, Ahmad Noor Abdul Shukur dan Syed Alwi Al-Hadi, Kajai adalah seorang wartawan yang mashyur dan mendapat tempat utama serta digelar sebagai "Bapa Wartawan Melayu" di kalangan wartawan-wartawan Melayu dalam tahun-tahun 1930-an. Di antara ruangan yang ditulis oleh Kajai yang diminati mereka ialah ruangan rencana pengarang. Ruangan ini banyak mengandungi pengajaran-pengajaran dan kata-kata yang bersemangat untuk memajukan bangsa Melayu. Mengikut pendapat Haji Mohd Yusuf Ahmad, sekiranya beliau menjadi pengurus suratkhabar dalam tahun-tahun 1930-an, Kajailah yang dipilih menjadi pengarangnya kerana beliau mempunyai kebolehan menggunakan bahasa Melayu yang baik dan pandai memikat hati pembaca ketika itu .

Riwayat Hidup Abdul Rahim Kajai

Kajai dilahirkan di Setapak, Kuala Lumpur pada tahun 1894. Beliau terkenal di kalangan orang banyak atau melalui karya-karya penulisannya dengan nama Abdul Rahim Kajai dan yang ringkas sekali, Kajai. Bapa Abdul Rahim Kajai, Salim Kajai berasal dari Kampumg Kajai Minangkabau, Sumatera. Sempena dengan nama kampung tersebut, ayah beliau yang bernama Salim dipanggil Salim Kajai. Ayah Kajai datang dari keluarga yaag agak mewah dan mempuyai pegangan agama Islam yang kuat.

Kajai dipelihara dengan baik oleh ibu dan neneknya hingga mendapat pendidikan yang sempurna. Kajai dihantar belajar ke Sekolah Melayu Setapak, pada tahun 1900. Beliau merupakan seorang budak yang cergas apabila dipilih untuk melanjutkan pelajaran dengan percuma di Sekolah Inggeris, tetapi ibu bapanya menolak tawaran itu kerana mereka tidak mahu sama sekali Kajai berpendidikan Inggeris. Sebaliknya mereka menghantar Kajai belajar agama di Mekah selama tiga tahun setelah tamat darjah lima sekolah Melayu Setapak pada tahun 1906.

Kajai diberi asuhan dan didikan agama Islam kerana keluarga Kajai sangat taat kepada ajaran Islam. Tetapi hatinya sangat berhajat untuik meneruskan pelajarannya ke Sekolah Inggeris. Ini terbukti apabila beliau sanggup belajar sendiri bahasa Inggeris setelah tiadak berpeluang melanjutkan pelajaran ke sekolah Inggeris.

Setelah kembali dari Mekah pada tahun 1909, Kajai bekerja sebagai penjilid dan kemudiannya menjadi pengatur huruf Melayu di pejabat cap kerajaan di Kuala Lumpur selama tiga setengah tahun. Pada tahun 1912-1913, beliau pergi ke Singapura untuk bekerja sebagai pengantar huruf Inggeris di syarikat Malaya Publishing House.

Atas dorongan untuk meningkatkan kerjayanya, Kajai berhenti setelah beberapa bulan dan pada awal 1913, Kajai kembali ke Kuala Lumpur dan menjadi pelukis pelatih di sebuah pejabat jurutera bangunan. Kemudian, beliau bekerja dengan kerajaan sebagai pelukis sementara di jabatan ukur Kuala Lumpur untuk beberapa bulan.

Apabila bapanya meninggal dunia padatahun 1913, Kajai terpakasa berhenti kerja dan pergi ke Mekah untuk menjaga adik perempuannnya, Maryam. Kajai juga meneruskan pekerjaan bapanya sebagai Sheikh Haji di Mekah. Selepas Perang Dunia pertama, Kajai kembali ke Tanah Melayu pada tahun 1917 ketika berusia 23 tahun dan beliau tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Ketika usianya 26 tahun (1919/1920), beliau mula meminati bidang kewartawanan. Beliau pernah menyumbangkan rencana-rencana berkenaan sosial dan agama serta berita di dalam Utusan Melayu dan Lembaga Melayu. Di antara guru-guru ilmu kewartawanan Kajai ialah Mohd. Yunus Abd. Hamid dan Syed Syekh Ahmad Al-Hadi.

Pada tahun 1920, Kajai pergi ke Mekah untuk menguruskan hal-hal perniagaan dan pekerjaan Sheikh Haji serta hal-hal persendiriannya. Di samping itu, Kajai juga menjadi wakil wartawan bagi suratkahbar migguan Idaran Zaman yang mula diterbitkan di Pualu Pinang pada Januari 1925. Kajai telah menyumbangkan berita-berita yang menarik dari Mekah lebih kurang tiga tahun sehingga 1927. Pada tahun 1928, Kajai dan keluarganya terpaksa kembali ke Tanah Melayu kerana kematian ibunya di Setapak.

Kajai mula bertugas sebagai penolong pengarang akhbar Saudara pada Mac 1930. Selepas berhenti berkhidmat dengan Saudara, Kajai memegang jawatan sebagai pengarang di akhbar Majlis yang bermula penerbitannya pada 17 Disember 1931 di Kuala lumpur. Pada 1 Februari 1935, beliau memegang jawatan sebagai wakil akhbar Warta Malaya di Kuala Lumpur. Seterusnya pada 7 disember 1936, Kajai dilantik menjadi pengarang Warta Malaya di Singapura. Kajai merupakan seorang wartawan yang mendapat gaji yang paling tinggi sekali ketika berkhidmat dengan Warta Malaya.

Di antara wartawan yang mendapat asuhan Kajai dalam bidang kewartawanan ialah Ramle Hj. Tahir, A. Samad Ahmad dan Ibrahim Hj. Yaakub di Majlis serta Zainal Abidin b. Hj. Ahmad, Mohd Dahlan Mas'od, Syed Abdullah Abd. Hamid dan Ishak Hj. Muhammad di Warta Malaya.

Di samping bekerja sebagai wartawan, Kajai juga melibatakan diri dalam kegiatan-kegiatan sukarela. Semasa menjadi wakil khas Warta Malaya, Kajai dilantik menjadi ahli kehormat "Persidangan Melayu Setapak" yang diketuai Muhamad Zakariah. Kajai tidak ketinggalan melibatkan diri dalam kegiatan keagamaan dan pernah dilantik menjadi ahli jawatankuasa masjid Setapak.

Kajai berhenti secara rasmi dari menjadi pengarang Warta Malaya dan terus berkhidmat sebagai pengarang dengan Utusan Melayu, iaitu sebuah akhbar yang dimodali dan dimiliki oleh 'orang Melayu jati' pada bulan Ogos 1939. Tidak berapa lama kemudian Kajai telah diberi tanggungjawab mengetuai sidang pengarang syarikat Utusan Melayu.

Pada bulan Mac 1941, Haji Othman Abdulah, Kajai dan Haji Dahlan Mas'ud telah bersetuju menerbitkan akhbar yang dinamakan "Perubahan Baharu" atas nasihat Jepun. Kajai juga diminta oleh pihak Jepun untuk bertugas sebagai pengarang akhbar "Berita Malaya" pada 1 Januari 1943. Pada bulan Julai 1943, Kajai diserang penyakit dan menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 5 Disember 1943, iaitu setelah lima bulan menderita dalam kesakitan

Sumbangan Kajai Dalam Dunia Persuratan Melayu

5.1. Akhbar Saudara (1930-1931)

Pada permulaannya, Kajai telah menulis rencana yang berhubung dengan ekonomi orang Melayu. Kebolehan Kajai dalam bidang kewartawanan telah memberi keyakinan kepada penerbitnya menyerahkan tugas pengarang saudara yang dikosongkan oleh Mohd Yunus Hamid kepada Kajai pada 30 Ogos 1930. Di antara tugas penting Kajai ialah menulis rencana pengarang dan menyunting Saudara. Di dalam ruangan pengarang, Kajai banyak menulis tentang pembaharuan agama Islam mengikut fahaman Kaum Muda. Walaupun perkara tentang keugamaan lebih diutamakan, tetapi perkara-perkara yang berhubung dengan orang-orang Melayu seperti pelajaran, poitik dan ekonomi turut dibincangkan.

Kajai telah menggunakan rencana-rencana dan ruangan rencana pengarang untuk mengemukakan pandangannya terhadap kemajuan bangsa Melayu. Bagi Kajai, rencana-rencana pengarang yang bersemangat sangatlah penting unutk menaikkan semangat pembaca. Di samping itu, beliau berkata:

…di mana kepala rencana sebolehnya-bolehnya dirupakan dan dijadikan suatu letupan yang terlalu hebat supaya menarik dan membangkitkan hati pembacanya.

Di antara rencana pengarang yang ditulis oleh Kajai ialah "Jinjang Penghidupan Kita" (27 Disember 1930) yang menggalakkan orang Melayu bercucuk tanam. Begitu juga Kajai turut membincangkan tentang peri pentingnya pelajaran Inggeris seperti pada keluaran 7 Mac 1931 di bawah tajuk "Pelajaran Inggeris di Sekolah Melayu" dan "Rintisan Fikiran Atas Perjalanan Pelajaran Anak-anak Melayu di Sekolah Melayu" (21 Mac 1931)

Kajai turut membincangkan tentang penglibatan politik di Tanah Melayu ketika itu. Umpamanya ruangan rencana pengarang keluaran 18 april 1931, yang bertajuk "Orang-orang Melayu Denagn Tanahair Watan Datuk Nenek Moyangnya", membincangkan keadaan Tanah Melayu ketika itu di mana orang asing asyik menuntut haknya di Tanah Melayu. Begitu juga tajuk-tajuk yang berhubung dengan politik turut dibincangkan oleh Kajai seperi "Perhimpunan Besar Kongres Malaya" (25 April 1931) , "Adakah Kebangsaan Melayu Itu bersemangat lagi?" (9 Mei 1931) dan lain-lain.

Kajai turut memainkan peranan penting mengkritik akhbar-akhbar yang wujud ketika itu seperti Lidah Benar, berhubung dengan masalah amalan agama Islam tentang 'taklid'. Semasa berkhidmat denga akhbar Saudara, beliau telah menulis tidak kurang lima buah rencana yang berhubung dengan sosioekonomi orang Melayu di bawah tajuk "Pemandangan di Atas Kemunduran Melayu" pada keluaran 1, 19, 26 April dan 3 Mei 1930.

5.2. Akhbar Majlis (1931-935)

Di samping menulis di dalam ruangan rencana pengarang, Kajai turut juga menulis ruangan kecil di setiap keluaran Majlis di bawah tajuk "Macam-macam" dengan menggunakan nama samarannya si Luncai. Di dalam ruangan rencana pengarang, Kajai menulis tentang persoalan-persoalan yang berhubung dengan kemajuan orang Melayu. Ruangan tersebut banyak memberi pandangan dan teguran kepada pemerintah Inggeris supaya orang Melayu diberikan perhatian yang sewajarnya. Kali ini Kajai menitik-beratkan tentang keraguannya terhadap orang -orang asing di Tanah Melayu, baik dari segi bilangan mahupun tuntutan mereka. Ini terdapat di dalam ruangan rencana pengarang seperti, "Seruan Kita Kepada Anak-anak Melayu, Hendaklan Sabar, Tekun, Setia dan Amanah Lain-lain Lagi Wajib Memandang Lebih jauh" (11 April 1932), dan "Benih Pecah Belah Subur, Melayu Dagang Dicemburui, Peluang Bangsa Melayu Semakin Terbuak", (17 November 932).

Berhubung dengan kepentingan oarng Melayu, Kajai lebih membincangkan tentang ekonomi dan politik orang Melayu supaya mereka lebih maju dan bersatu untuk menandingi bangsa-bangsa asing seperti dalam rencana "Orang Melayu Jangan Membuang Baka, Persekutuan Melayu Am Wajib Diadakan", (8 September 1932) dan "Mari Bersatu", (12 Jun 1933) Kajai turut memainkan peranan yang penting di dalamn menyumbangkan idea-idea seperti yang telah dibincangkan di dalam Majlis Mesyuarat Persekutuan berhubung dengan kepentingan orang Melayu.

Masalah kepentingan pelajaran, bahasa Melayu amalan agama Islam dan mengikiskan adat-adat yang lapuk, turut juga dibincangkan oleh Kajai. Ini seperti yang terdapat di bawah tajuk, "Bahasa Melayu Tidak Berharga" (11 Januari 1932), "Anak Melayu dengan Pelajaran Inggeris" (21 November 1932) dan "Urusan Agama Mesti Diratakan Lagi" (26September 1932) .Peristiwa-peristiwa penting yang berlaku demi untuk kepentingan orang Melayu turut dibincangkan oleh Kajai seperti masalah desentralisasi, tanah simpanan Melayu, pertentangan idea kaum muda dengan kaum tua, masalah kemelesetan ekonomi (1931-1932) dan sebagainya.

5.3. Syarikat Akhbar Warta Malaya (1935-1939)

Di ruangan rencana pengarang, Kajai tetap mengingatkan orang-orang Melayu tentang bahaya-bahaya orang asing. Masalah masyarakat Melayu tentang pelajaran, ekonomi, bahasa dan pergerakan poitik turut juga dibincangkan oleh Kajai. Di antaranya ialah "Belia-belia Melayu yang Berpelajaran" (26 Disember 1936), "Peraturan Melayu Pahang" (2 Mac 1938) dan "Takrif Bahasa Melayu".

Kajai juga turut membincangkan rencana-rencana yang berhubung dengan pergolakan politik dan peperangan di luar negeri. Di antara rencana-rencana beliau ialah "Cina bersungguh-sungguh Negeri-negeri Domakrat Berteguh" (4 Mei 1939) , "Perubahan Baru bagi Dunia Arab" (25 Mei 1939) dan sebagainya.

5.4. Syarikat Akhbar Utusan Melayu ( 1939-194)

Kali ini Kajai banyak membincangkan dan memberi nasihat kepada orang-orang Melayu supaya berhati-hati dengan orang-orang Islam yang bukan dari keturunan Melayu. Di antara yang ditulis oleh Kajai dalam ruangan rencana pengarang ialah, "Matahari Takrif Melayu", (1 Jun 1940) dan "Siapa Yang Berkata Melayu Malas", (10 Ogos 1940).

Di samping itu, Kajai lebih mengingatkan orang-orang Melayu supaya bekerja keras dan berhati-hati demi untuk mencapai kejayaan. Di antaranya ialah rencana pengarang yang bertajuk "Bahasa Melayu" 917 Disember 1939) dan "Cemburulah Kepada Derma Pelajaran", 9-10 Mac 1940).

Kesimpulan

Kegigihan Abdul Rahim Kajai dalam memperdalamkan ilmu pengetahuan serta memberi sumbangan ke arah kemajuan serta perkembangan bangsa dan bahasa Melayu memang tidak dapat disangkal lagi. Ini telah beliau lakukan dalam bidang persuratan yang memang berkait rapat dengan bidang bahasa . Oleh itu tidaklah hairanlah beliau layak digelar sebagai "Bapa Wartawan Melayu' oleh para pengkagum dan pengkritiknya. Tulisannya dalam akhbar-akhbar serta majalah-majalah banyak memberi aspirasi dan motivasi kepada sesiapa jua yang membaca dan menghayatinya. Lantaran itu, wajarlah generasi kemudian mengenang perit jerih pejuang yang telah menjadi kebanggaan bangsa Melayu pada awal kurun ke-20 ini dengan menghayati serta menjiwai sejarah perjuangan beliau..

Ratusan rencana, artikel, cerpen dan buku yang diilhamkan oleh beliau membuktikan kesungguhan dan minat yang mendalam serta tidak mengenal erti penat lelah dalam menyampaikan berita-berita serta gagasan-gagasan yang amat bermakna kepada seluruh masyarakat. Kekuatan isinya, kebernasan ideanya seta kemantapan gaya bahasanya sering menjadi kegilaan di kalangan pemujanya dan oleh yang demikian tidak hairanlah dalam usia yang begitu muda, beliau sudah dapat memegang tampuk jawatan yang dimimpikan oleh setiap insan yang terjun dalam bidang kewartawanan.

Pemikiran dan tulisannya bukan setakat diterima oleh kalangan bangsanya malahan pihak Jepun dan Inggeris juga menyanjungi akan kedudukan beliau serta sentiasa merujuk kepadanya apabila mengambil keputusan yang berkait dengan bangsa dan bahasa Melayu. Usaha beliau yang tidak berputusan untuk mendapatkan pengiktirafan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama amat besar harganya. Pemergiannya yang kini telah berusia setengah abad bagaikan menjadi satu nostalgia yang tidak dapat dilupakan oleh semua.

No comments:

Post a Comment