Wednesday, July 8, 2009

PTK tidak akan dimansuhkan

Sistem penilaian diperbaiki lebih fleksibel, sesuai keadaan kerja kakitangan


PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak akan memansuhkan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), sebaliknya diperbaiki dan dinilai dari semasa ke semasa bagi faedah semua kakitangan awam.

Ketua Komunikasi Korporatnya, Hasniah Rashid, berkata dakwaan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bahawa PTK gagal mencapai matlamatnya, tidak tepat kerana sistem itu didapati lebih fleksibel dan sesuai dengan keadaan kerja kakitangan awam.

Malah, beliau berkata, PTK mempunyai beberapa mekanisme yang memberi peluang kepada kakitangan sokongan dan berpangkat rendah meraih peluang kenaikan pangkat.

"Konsep PTK adalah ringkas kerana memberi peluang kepada ketua jabatan atau agensi menilai prestasi kerja, tingkah laku, kemahiran dan tahap pengetahuan kakitangan awam dengan pelbagai kaedah serta mekanisme.

"Ketua jabatan boleh memilih mekanisme sesuai sama ada peperiksaan, pengawasan atau kursus tertentu sebelum penilaian dibuat terhadap kakitangan terbabit," katanya, di sini, semalam.

Hasniah juga mengakui peperiksaan hanya boleh menguji tahap profesionalisme dan sahsiah kakitangan tertentu dan bukannya kakitangan awam yang bertugas sebagai pemandu, tukang kebun, pembantu hospital dan mereka yang hanya mempunyai kelayakan setakat darjah enam.

Dalam hal ini, katanya, ketua jabatan boleh memilih untuk menggunakan kaedah pengawasan untuk penilaian prestasi, supaya mereka juga mendapat peluang kenaikan pangkat.

PTK yang dilaksanakan pada 2003 adalah syarat kakitangan awam mendapat anjakan gaji menerusi Sistem Saraan Malaysia (SSM) melalui mekanisme peperiksaan dan kursus harian.

Cuepacs mahu PTK dimansuhkan untuk kumpulan dua kakitangan sokongan sebagai langkah segera membantu mereka, khususnya yang berpendapatan rendah mendapat anjakan gaji, selain dianggap tidak mencapai matlamatnya menguji tahap kompetensi pekerja sektor awam.

Pemansuhan PTK adalah antara lima isu utama berkaitan kakitangan awam dibangkitkan Cuepacs kepada kerajaan baru-baru ini.

Hasniah berkata, Cuepacs sudah sedia maklum mengenai pendirian JPA berhubung isu PTK kerana perkara itu sudah dibincangkan beberapa kali antara kedua-dua pihak.

"Cuepacs turut membangkitkan perkara sama ketika Sistem Saraan Baru (SSB) dilaksanakan tidak lama dulu dengan mendakwa hanya kakitangan awam tertentu yang berpeluang mendapat kenaikan pangkat mengikut sistem berkenaan.

"Berdasarkan atas alasan itulah, PTK diperkenalkan dengan matlamat menilai secara lebih tepat tingkah laku, kemahiran dan tahap pengetahuan kakitangan awam," katanya.

No comments:

Post a Comment