Wednesday, July 8, 2009

Standard Guru Malaysia (SGM) diperkenalkan

KUALA LUMPUR 29 Mei – Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan Standard Guru Malaysia (SGM) bulan depan dalam usaha meningkatkan tahap pengajaran 339,882 orang di negara ini.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia bagi memastikan semua latihan keguruan yang dijalankan oleh institusi pendidikan dalam dan luar negara memenuhi piawaian bagi melahirkan guru-guru untuk sistem pendidikan Malaysia.

Katanya, dengan adanya sistem tersebut, pihaknya boleh mengenal pasti tahap asas guru yang diperlukan di setiap sekolah dan menempatkan guru yang bersesuaian dengan kemahiran dan keupayaan mereka.

“Pakar pendidikan tempatan dan antarabangsa terlibat dalam pembentukan SGM ini yang akan dijadikan penanda aras untuk dibandingkan dengan standard-standard pengajaran antarabangsa yang lain,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Pendidikan Guru, di sini hari ini.

Hishammuddin menjelaskan, sistem pendidikan negara sememangnya memerlukan satu penanda aras kepada standard latihan keguruan bagi melihat pencapaian dalam bidang latihan dan pendidikan guru.

Katanya, SGM yang akan dilaksanakan itu bukan sahaja diiktiraf oleh institusi dalaman tetapi di peringkat antarabangsa.

“Saya hendak orang luar melihat guru-guru kita berkualiti dan mampu bersaing dengan pengajar luar,” katanya.

Menurutnya, bagi sekolah kluster dan sekolah bestari, standard SGM guru dijangka lebih tinggi kerana mereka mengajar di sekolah yang memiliki akses meluas terhadap teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta menguasai komputer.

“Bagi sekolah sukan pula, SGM yang perlu ada pada guru ialah keseimbangan dalam penguasaan akademik dan sukan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin turut ditanya mengenai kenyataan kumpulan Dong Jiao Zong bahawa mempelajari bahasa Mandarin tidak sepatutnya menjadi isu sensitif di Malaysia memandangkan ia satu keperluan bagi mendapatkan peluang perniagaan dengan China.

Beliau menyifatkan kumpulan tersebut berfikiran sempit kerana masih dibelenggu dengan isu-isu yang lapuk iaitu isu bahasa Mandarin dan perjuangan yang tidak relevan.

“Masa telah pun berlalu, kita perlu melihat pendekatan baru dalam sistem pendidikan.

“Sebab itulah kementerian menerapkan kepelbagaian seperti mewujudkan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris serta aliran agama, swasta, antarabangsa dan kebangsaan,” katanya.

Beliau turut melahirkan kesudian untuk berjumpa dengan pemimpin kumpulan tersebut bagi membincangkan perkara-perkara yang masih berbangkit.

Pada majlis itu juga, Kementerian Pelajaran memeterai perjanjian dan program kerjasama dengan 10 buah universiti terkemuka luar negara dan 12 institut pengajian tinggi dalam negara.

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada pelan program pengantarabangsaan latihan keguruan di negara ini." "

No comments:

Post a Comment